Login Form

Nama sebenar TEPCES ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kemaman. Sekolah ini ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Tanah Melayu untuk memberikan pendidikan menengah dalam pengantar bahasa Melayu, sebagai mana Penyata Razak 1956 mencadangkan penubuhan 2 jenis sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.

Dalam 2 tahun selepas Penyata Rahman Talib diwartakan, menjelang tahun 1963-tertubuhlah sebuah sekolah berbahasa pengantar Melayu diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Kemaman (SMKK). Seramai 35 orang pelajar telah memulakan pengajian di tingkatan 1 dengan menumpang di Sultan Ismail Secondary School, sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.

Orang yang diberi tanggungjawab sebagai Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Kemaman yang pertama ialah En.Ahmad B.Hassan, lepasan Maktab Perguruan Brinsford Lodge, England selepas bertugas di Sekolah Lanjutan Kemaman (1962-1964). Beliau berkhidmat di sekolah ini dari tahun 1965 hingga 1967 sebelum bertukar ke tempat kelahiran beliau di Negeri Sembilan pada tahun 1968.

Murid-murid ini telah diletakkan di bawah pentadbiran seorang Penyelia Kelas Lanjutan di Sultan Ismail Secondary School, Kemaman iaitu Puan Maurine Chaye dan En. Ahmad Hassan sebagai penolongnya.

Pada 1 Januari 1965, pelajar-pelajar SMKK telah berpindah ke bangunan sendiri sebagai mana yang ada sekarang. Sebanyak 7 kelas telah memulakan persekolahan di bangunan sendiri dengan pelajar seramai 276 orang. Pada tahun ini juga, pelajar-pelajar sulong SMKK menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1967.

SMKK telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Berhormat Encik Mohamed Khir Johari, Menteri Pelajaran Malaysia pada 25 hb Mei 1967. Pada tahun 1973, Sekolah Menengah Kebangsaan Kemaman telah ditukar namanya kepada Sekolah Menengah Chukai. Pertukaran ini berlaku kerana singkatan nama SMKK sama dengan singkatan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Kemasik yang terletak di daerah yang sama.

Pertambahan bilangan pelajar telah meningkat setiap tahun menyebabkan bangunan yang sedia ada tidak mencukupi. Pada tahun 1966, bangunan blok B yang lengkap dengan 2 buah makmal serta 2 buah bilik Ekonomi Rumah Tangga di samping 13 buah bilik darjah telah dibina. Ini diikuti dengan pembinaan blok C yang lengkap dengan 5 buah makmal serta 2 buah bilik Ekonomi Rumah Tangga. 3 buah bangunan blok kayu pula telah didirikan pada tahun 1987 dan 1989 di bawah Projek Kilat, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Pada tahun 1990, bangunan KBSM 3 tingkat telah dibina dan digunakan sepenuhnya pada bulan Januari 1991 bertujuan menampung bilangan pelajar yang hampir mencecah ke angka 2000 orang.

Sekolah ini ditubuhkan pada asalnya sebagai sekolah aneka jurusan, kini telah berkembang menjadi sebuah sekolah kebangsaan dengan pelbagai aliran. Aliran Sains Tulen mula diperkenalkan pada akhir tahun 1970-an. Ini diikuti dengan pembukaan kelas Bahasa Arab bagi pelajar tingkatan satu pada tahun 1988. Pada tahun yang sama, sekolah ini mencatat sejarah apabila 2 kelas Tingkatan 6 Rendah Sastera dibuka bagi menampung lulusan SPM dari daerah ini yang sebelumnya hanya berpeluang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 Sastera di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kemaman. Sekolah ini juga membuka 1 kelas Bahasa Inggeris 1119 bagi pelajar tingkatan 1 pada tahun 1993/1994.

Pada tahun 2005, TEPCES telah menjadi Sekolah Premier Terengganu di daerah Kemaman dan pelajar-pelajar premier pertama menduduki peperiksaan PMR pada tahun 2007. Seramai 51 orang pelajar berjaya mendapat Straight A dalam PMR itu. TEPCES berjaya menduduki tangga ke-8 sebagai sekolah yang cemerlang dalam PMR 2007 di negeri Terengganu.Dan pada tahun 2008,pelajar premier kedua melakar kejayaan dengan percapaian 64 orang pelajar berjaya mendapat Straight A dalam PMR 2008.

Pada tahun 2013, TEPCES telah mendapat penganugerahan Sekolah Kluster Kecemerlangan di bawah pimpinan pengetua pada tahun tersebut.

Who's Online

We have 9 guests and no members online